Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Ralat Pembiasan (Refractive Error)
Ralat pembiasan atau kesalahan refraktif adalah satu keadaan
fisiologi di mana sistem pembiasan mata tidak dapat memfokus objek pada
retina. Mata berkeupayaan untuk memfokuskan objek yang dilihat sehingga
terbentuk imej pada bahagian retina. Keadaan ini dicapai melalui kuasa
menumpu yang terdapat pada kornea dan kanta. Kegagalan untuk berbuat
demikian mengakibatkan penglihatan menjadi kabur. Ini menyebabkan
individu tersebut menjadi rabun. Walaubagaimanapun, kejadian ralat
pembiasan ini boleh dibetulkan dengan penggunaan cermin mata atau kanta
sentuh.
Mata yang normal
akan membiaskan cahaya yang
memasukinya untuk membentuk imej
pada
retina. Pembiasan ini bergantung pada kelengkungan kornea, akomodasi
kanta kristalin dan panjang aksial mata. Oleh itu, sekiranya berlaku
kelainan pada sistem pembiasan mata ini, maka akan berlaku ralat
pembiasan. Pembiasan sempurna pada mata seseorang dipanggil emetropia
atau mata normal. Antara ralaat pembiasan yaang selalu terjadi ialah
rabun jauh atau myopia, rabun dekat atau hyperopia, rabun silau atau
astigmatism, dan presbiopia yang disebabkan oleh kelainan pada keupayaan
akomodasi kanta kristalin.
Rabun Jauh (myopia)
 |
Myopia berlaku apabila imej difokuskan di
hadapan retina menyebabkan imej yang terbentuk kurang jelas atau kabur.
Individu yang mengalami myopia ini tidak dapat melihat objek pada jarak
yang jauh secara jelas, tetapi boleh melihat objek pada jarak yang dekat
dengan jelas. Biasanya kejadian rabun jauh ini berlaku dalam kalangan
kanak- kanak disebabkan oleh saiz bola mata yang lebih panjang daripada saiz normal. Kejadian myopia boleh dibetulkan dengan penggunaan cermin mata kanta cekung. Myopia boleh dikelaskan kepada myopia fisiologi, myopia patologi, myopia aksial, dan myopia refraktif atau myopia indeks.
|
Myopia fisiologi kerap terjadi kepada pelajar sekolah dan merupakan
keadaan yang ringan berpunca daripada keadaan fisiologi yang boleh
dibetulkan dengan menggunakan alat bantuan penglihatan tertentu seperti
kaca mata. Myopia
fisiologi juga dikenali sebagai myopia
sekolah.
Antara faktor yang menyebabkan keadaan ini ialah berlaku pertambahan
pada kelengkungan permukaan kornea atau kanta kristalin. Selain itu,
saiz bola mata bertambah panjang kerana berlakunya proses pertumbuhan
dan perkembangan struktur mata.
Myopia patologi berlaku kerana perubahan yang terjadi pada patologi komponen pembiasan. Myopia
patologi juga dikenali sebagai myopia
degeneratif atau myopia
progresif atau myopia
malignan.
Kebiasaannya, myopia patologi mempunyai kuasa biasan yang sangat tinggi
dan berkemungkinan besar berasal daripada genetik. Antara ciri myopia
patologi ialah berlakunya pertambahan panjang aksial dengan cepat dan
adanya atrofi
korio-retinal. Selain itu, berlaku kehilangan
penglihatan pusat yang melibatkan kawasan makula. Individu yang
mengalami myopia patologi berisiko untuk mengalami keadaan retina
lekang. Myopia patologi biasanya tidak dapat dirawat dan penghidapnya
akan tergolong dalam golongan berpenglihatan terhad.
Myopia aksial ialah rabun jauh yang berlaku
kerana saiz bola mata yang panjang. Perubahan saiz bola mata ini berlaku disebabkan oleh sesuatu punca seperti posterior stafiloma.
Manakala, myopia refraktif atau myopia indeks berlaku kerana
perubahan refraktif atau biasan pada kornea atau kanta kristalin
sedangkan panjang bola matanya adalah normal. Antara keadaan yaang boleh
menyebabkan berlakunya myopia indeks adalah keratokonus, iaitu berlaku
pertambahan kuasa biasan, dan sklerosis kanta kristalin atau kornea.
Rabun Dekat (hyperopia)
 |
Hyperopia berlaku apabila imej difokuskan di belakang retina.
Keadaan ini menyebabkan penglihatan jauh lebih baik daripada
penglihatan dekat. Individu yang mengalami hyperopia akan melihat objek
pada jarak yang jauh secara jelas, manakala objek pada jaraak yang dekat
akan kelihatan tidak jelas atau kabur. Ralat pembiasan ini berlaku
disebabkan oleh saiz bola mata yang lebih kecil berbanding dengan saiz
normal. Individu yang mengalami hyperopia atau rabun dekat ini perlu
menggunakan cermin mata kanta cembung. Hyperopia terbahaagi kepada hyperopia biasa, hyperopia patologi dan hyperopia kefungsian (functional).
|
Hyperopia biasa berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya
ialah garis pusat bola mata terlalu pendek atau saiz bola mata yang
kecil berbanding dengan saiz normal. Terdapat juga kes yang disebabkan
oleh komponen refraktif mata yang terlalu lemah. Apabila indeks
refraktif atau indeks biasan mengalami keadaan yang tidak normal,
contohnya indeks biasan bagi cecair vitreus tinggi, maka cecair akues
akan berkurang. Keadaan ini menyebabkan bahagian korteks kanta kristalis
atau kornea bertambah. Kelengkungan kornea berkurang juga boleh
menyebabkan hyperopia, terjadi apabila panjang jejari kornea bertambah
menyebabkan permukaan komponen refraktif tersebut menjadi lebih leper.
Selain itu, ruang anterior yang cetek dan umur tua juga boleh
mencetuskan hyperopia.
Hyperopia patologi pula merujuk kepada keadaan abnormal kongenital
atau akibat daripada unsur tertentu seperti barah atau ketumbuhan.
Perubahan bentuk bola mata yang menyebabkan panjang aksial bola mata
terlalu pendek atau saiz bola mata kecil berbanding saiz normal. Keadaan
ini disebabkan oleh barah di orbit mata, mikroftalmus, edema atau
perubahan akibat kecederaan tertentu pada mata. Masalah pada
kelengkungan kornea yang merupakan komponen refraktif, seperti permukaan
kornea menjadi lebih leper akibat daripada ulser pada permukaannya.
Perubahan metabolisma boleh meningkatkan indeks biasan cecair vitreus,
mengurangkan indeks biasan cecair akuess, atau meningkatkan indeks
biasan pada korteks kanta kristalin atau kornea. Ketiadaan elemen
tertentu pada mata juga menyumbang kepada hyperopia patologi seperti
ketiadaan kanta kristalin menyebabkan keadaan afakia. Selain itu,
kedudukan kornea yang tidak pada tempatnya juga boleh mencetuskan
keadaan hyperopia.
Contohnya,
kedudukan kornea yang
terkebelakang,
iaitu ke arah posterior.
Hyperopia
kefungsian atau functional adalah disebabkan oleh pengaruh
akomodasi.
Penguncupan otot siliari semasa proses akomodasi akan meningkatkan
kuasa biasan kornea yang sedikit sebanyak boleh membetulkan sejumlah
tertentu darjah hyperopia yang wujud. Hyperopia
kefungsian boleh dibahagikan kepada dua
kategori berdasarkan akomodasi tersebut,
iaitu hyperopia yang
terpendam (
latent)
dan hyperopia yang dinyatakan sebagai hyperopia
pilihan (
fakultatif)
dan hyperopia
mutlak.
Hiperopia terpendam boleh dihilangkan secara fisiologi oleh otot
siliari, samada secara penguncupan atau pengembangan. Manakala hyperopia
pilihan pula dapat dihilangkan dengan keupayaan akomodasi. Berbeza
dengan hyperopia mutlak yang tidak dapat diatasi melalui proses
akomodasi.
Skema Mata
Mata Normal- imej terbentuk pada retina
- Rabun jauh (myopia)- imej terbentuk di depan retina, boleh dibetulkan dengan penggunaan kanta cekung.
- Rabun dekat (hyperopia)- imej terbentuk di belakang retina, boleh dibetulkan dengan penggunaan kanta cembung.
Rabun Silau (Astigmatism)
 |
Astigmatism pula berlaku disebabkan imej yang terbentuk lebih
daripada satu titik fokus. Keadaan ini disebabkan permukaan kornea yang
tidak sekata atau beralun di mana cahaya yang masuk tidak dapat
difokuskan pada satu titik sahaja kerana berlaku pembiasan
cahaya. Imej yang terbentuk pada retina kurang jelas dan tepat dan
menyebabkan pengurangan ketajaman atau ketepatan penglihatan. Maka,
penglihatan akan menjadi silau. |
Antara punca berlakunya astigmatism adalah akibat lengkung kornea
yang tidak sekata. Astigmatism terbahagi kepada dua, iaitu astigmatism
mengikut peraturan
atau with the rule astigmatisme dan astigmatism menyalahi peraturan
atau against the rule astigmatisme. Astigmatism mengikut peraturan atau
with the rule astigmatisme adalah keadaan di mana lengkungan menegak (
vertical) kornea lebih daripada lengkungan melintang (
horizontal).
Keadaan ini selalunya berpunca daripada tekanan tetap dan berterusan
dari kelopak mata ke atas permukaan kornea yang mengakibatkan meridian
menegak mempunyai kelengkungan yang lebih berbanding dengan meridian
melintang.
Manakala, astigmatism menyalahi peraturan
atau against the rule astigmatisme pula kerap berlaku apabila
usia
semakin meningkat. Hal ini kerana, apabila usia telah lanjut, kelopak
mata tidak lagi cukup kuat untuk menghasilkan tekanan berterusan ke atas
permukaan kornea di mana ini menyebabkan lengkungan meridian melintang
menjadi lebih berbanding dengan lengkungan meridian menegak. Keadaan
astigmatism mengikut peraturan yang kecil darjahnya boleh dianggap
kerana keadaan fisiologi, tetapi astigmatism yang berpunca daripada
masalah kelengkungan kornea biasanya adalah kongenital.
Selain itu, kecederaan kornea atau akibat daripada pembedahan ke atas
mata juga boleh menjadi punca berlakunya rabun silau. Jahitan selepas
pembedahan yang terlalu longgar atau ketat boleh mempengaruhi bentuk
kelengkungan permukaan kornea. Bentuk kornea dan penyakit yang mengubah
bentuk kornea juga menyumbang kepada astigmatism. Contohnya,
keratokonus, iaitu kornea berbentuk kon, ulser pada permukaan kornea,
inflamasi pada kornea dan kornea yang berparut. Kelopak mata bengkak
disebabkan ketumbuhan, ketumbit dan sebagainya yang boleh menghasilkan
tekanan ke atas kornea di mana permukaan kornea menjadi tidak sekata
lagi. Di samping itu, perubahan kedudukan kornea juga mengakibatkan
astigmatism. Kedudukan kornea yang sedikit ke atas daripada posisi
sepatutnya atau kornea mengalami keadaan subluksasi (
subluxation)
akibat hentakan ke atas mata dan sebagainya. Keadaan sedemikian
menyebabkan paksi penglihatan sudah tidak sejajar lagi dengan kedudukan
sebenar kornea. Astigmatism yang berpunca daripada indeks biasan yang
bervariasi biasanya berlaku terhadap penghidap kencing manis dan
katarak.
Keadaan kornea yang mengalami rabun silau dan kornea normal
Rabun Tua (Presbiopia)
 |
Presbiopia adalah keadaan rabun atau pembiasan yang berlaku
disebabkan oleh penurunan keupayaan kanta kristalin atau kornea mata
untuk melakukan akomodasi. Keadaan penurunan keupayaan akomodasi ini
berlaku berikutan umur yang semakin meningkat. Selalunya presbiopia
wujud pada umur pertengahan, iaitu dalam lingkungan 40 tahun. |
Sebenarnya, kewujudan presbiopia merupakan proses fisiologi umur
manusia. Apabila umur bertambah, kanta kristalin menjadi kurang anjal
menyebabkan keupayaan untuk memfokus pada objek dekat berkurang atau
menjadi sukar. Oleh itu, mata mereka yang mengalami presbiopia akan
menjadi mudah letih apabila membaca atau membuat kerja- kerja pada jarak
yang dekat seperti menjahit dan sebagainya. Penggunaan kanta cembung
boleh mengatasi masalah presbiopia.
Keadaan presbiopia berlaku bergantung kepada beberapa faktor.
Antaranya ialah jarak kerja dekat. Contohnya, seseorang yang mempunyai
tabiat membaca pada jarak yang dekat akan cepat mengalami presbiopia
berbanding dengan individu yang mempunyai tabiat membaca pada jarak yang
jauh. keadaan ralat biasan mata juga menjadi faktor kepada presbiopia.
Contohnya, individu yang mengalami hyperopia akan cepat mengalami
presbiopia berbanding dengan individu yang mengalami myopia. Selain itu,
faktor umur juga memainkan peranan. Golongan yang berumur pertengahan
lebih cenderung untuk mengalami presbiopia berbanding dengan golongan
yang lebih muda. Walaubagaimanapun, keadaaan kesihatan badan juga
merupakan antara faktor penting. Individu yang lebih muda dengan tahap
kesihatan yang rendah akan lebih cenderung untuk mendapat presbiopia
berbanding dengan individu yang lebih tua dengan tahap kesihatan yang
lebih baik.