Ralat Pembiasan (Refractive Error)
Ralat pembiasan atau kesalahan refraktif adalah satu keadaan fisiologi di mana sistem pembiasan mata tidak dapat memfokus objek pada retina. Mata berkeupayaan untuk memfokuskan objek yang dilihat sehingga terbentuk imej pada bahagian retina. Keadaan ini dicapai melalui kuasa menumpu yang terdapat pada kornea dan kanta. Kegagalan untuk berbuat demikian mengakibatkan penglihatan menjadi kabur. Ini menyebabkan individu tersebut menjadi rabun. Walaubagaimanapun, kejadian ralat pembiasan ini boleh dibetulkan dengan penggunaan cermin mata atau kanta sentuh.
Mata yang normal akan membiaskan cahaya yang memasukinya untuk membentuk imej pada retina. Pembiasan ini bergantung pada kelengkungan kornea, akomodasi kanta kristalin dan panjang aksial mata. Oleh itu, sekiranya berlaku kelainan pada sistem pembiasan mata ini, maka akan berlaku ralat pembiasan. Pembiasan sempurna pada mata seseorang dipanggil emetropia atau mata normal. Antara ralaat pembiasan yaang selalu terjadi ialah rabun jauh atau myopia, rabun dekat atau hyperopia, rabun silau atau astigmatism, dan presbiopia yang disebabkan oleh kelainan pada keupayaan akomodasi kanta kristalin.
Rabun Jauh (myopia)
![]() |
Myopia berlaku apabila imej difokuskan di hadapan retina menyebabkan imej yang terbentuk kurang jelas atau kabur. Individu yang mengalami myopia ini tidak dapat melihat objek pada jarak yang jauh secara jelas, tetapi boleh melihat objek pada jarak yang dekat dengan jelas. Biasanya kejadian rabun jauh ini berlaku dalam kalangan kanak- kanak disebabkan oleh saiz bola mata yang lebih panjang daripada saiz normal. Kejadian myopia boleh dibetulkan dengan penggunaan cermin mata kanta cekung. Myopia boleh dikelaskan kepada myopia fisiologi, myopia patologi, myopia aksial, dan myopia refraktif atau myopia indeks. |
Myopia fisiologi kerap terjadi kepada pelajar sekolah dan merupakan keadaan yang ringan berpunca daripada keadaan fisiologi yang boleh dibetulkan dengan menggunakan alat bantuan penglihatan tertentu seperti kaca mata. Myopia fisiologi juga dikenali sebagai myopia sekolah. Antara faktor yang menyebabkan keadaan ini ialah berlaku pertambahan pada kelengkungan permukaan kornea atau kanta kristalin. Selain itu, saiz bola mata bertambah panjang kerana berlakunya proses pertumbuhan dan perkembangan struktur mata.
Myopia patologi berlaku kerana perubahan yang terjadi pada patologi komponen pembiasan. Myopia patologi juga dikenali sebagai myopia degeneratif atau myopia progresif atau myopia malignan. Kebiasaannya, myopia patologi mempunyai kuasa biasan yang sangat tinggi dan berkemungkinan besar berasal daripada genetik. Antara ciri myopia patologi ialah berlakunya pertambahan panjang aksial dengan cepat dan adanya atrofi korio-retinal. Selain itu, berlaku kehilangan penglihatan pusat yang melibatkan kawasan makula. Individu yang mengalami myopia patologi berisiko untuk mengalami keadaan retina lekang. Myopia patologi biasanya tidak dapat dirawat dan penghidapnya akan tergolong dalam golongan berpenglihatan terhad.
Myopia aksial ialah rabun jauh yang berlaku kerana saiz bola mata yang panjang. Perubahan saiz bola mata ini berlaku disebabkan oleh sesuatu punca seperti posterior stafiloma.
Manakala, myopia refraktif atau myopia indeks berlaku kerana perubahan refraktif atau biasan pada kornea atau kanta kristalin sedangkan panjang bola matanya adalah normal. Antara keadaan yaang boleh menyebabkan berlakunya myopia indeks adalah keratokonus, iaitu berlaku pertambahan kuasa biasan, dan sklerosis kanta kristalin atau kornea.
Rabun Dekat (hyperopia)
![]() |
Hyperopia berlaku apabila imej difokuskan di belakang retina.
Keadaan ini menyebabkan penglihatan jauh lebih baik daripada
penglihatan dekat. Individu yang mengalami hyperopia akan melihat objek
pada jarak yang jauh secara jelas, manakala objek pada jaraak yang dekat
akan kelihatan tidak jelas atau kabur. Ralat pembiasan ini berlaku
disebabkan oleh saiz bola mata yang lebih kecil berbanding dengan saiz
normal. Individu yang mengalami hyperopia atau rabun dekat ini perlu
menggunakan cermin mata kanta cembung. Hyperopia terbahaagi kepada hyperopia biasa, hyperopia patologi dan hyperopia kefungsian (functional). |
Hyperopia biasa berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah garis pusat bola mata terlalu pendek atau saiz bola mata yang kecil berbanding dengan saiz normal. Terdapat juga kes yang disebabkan oleh komponen refraktif mata yang terlalu lemah. Apabila indeks refraktif atau indeks biasan mengalami keadaan yang tidak normal, contohnya indeks biasan bagi cecair vitreus tinggi, maka cecair akues akan berkurang. Keadaan ini menyebabkan bahagian korteks kanta kristalis atau kornea bertambah. Kelengkungan kornea berkurang juga boleh menyebabkan hyperopia, terjadi apabila panjang jejari kornea bertambah menyebabkan permukaan komponen refraktif tersebut menjadi lebih leper. Selain itu, ruang anterior yang cetek dan umur tua juga boleh mencetuskan hyperopia.
Hyperopia patologi pula merujuk kepada keadaan abnormal kongenital atau akibat daripada unsur tertentu seperti barah atau ketumbuhan. Perubahan bentuk bola mata yang menyebabkan panjang aksial bola mata terlalu pendek atau saiz bola mata kecil berbanding saiz normal. Keadaan ini disebabkan oleh barah di orbit mata, mikroftalmus, edema atau perubahan akibat kecederaan tertentu pada mata. Masalah pada kelengkungan kornea yang merupakan komponen refraktif, seperti permukaan kornea menjadi lebih leper akibat daripada ulser pada permukaannya. Perubahan metabolisma boleh meningkatkan indeks biasan cecair vitreus, mengurangkan indeks biasan cecair akuess, atau meningkatkan indeks biasan pada korteks kanta kristalin atau kornea. Ketiadaan elemen tertentu pada mata juga menyumbang kepada hyperopia patologi seperti ketiadaan kanta kristalin menyebabkan keadaan afakia. Selain itu, kedudukan kornea yang tidak pada tempatnya juga boleh mencetuskan keadaan hyperopia. Contohnya, kedudukan kornea yang terkebelakang, iaitu ke arah posterior.
Hyperopia kefungsian atau functional adalah disebabkan oleh pengaruh akomodasi. Penguncupan otot siliari semasa proses akomodasi akan meningkatkan kuasa biasan kornea yang sedikit sebanyak boleh membetulkan sejumlah tertentu darjah hyperopia yang wujud. Hyperopia kefungsian boleh dibahagikan kepada dua kategori berdasarkan akomodasi tersebut, iaitu hyperopia yang terpendam (latent) dan hyperopia yang dinyatakan sebagai hyperopia pilihan (fakultatif) dan hyperopia mutlak. Hiperopia terpendam boleh dihilangkan secara fisiologi oleh otot siliari, samada secara penguncupan atau pengembangan. Manakala hyperopia pilihan pula dapat dihilangkan dengan keupayaan akomodasi. Berbeza dengan hyperopia mutlak yang tidak dapat diatasi melalui proses akomodasi.
Skema Mata

Mata Normal- imej terbentuk pada retina

- Rabun jauh (myopia)- imej terbentuk di depan retina, boleh dibetulkan dengan penggunaan kanta cekung.
- Rabun dekat (hyperopia)- imej terbentuk di belakang retina, boleh dibetulkan dengan penggunaan kanta cembung.
Rabun Silau (Astigmatism)
![]() |
Astigmatism pula berlaku disebabkan imej yang terbentuk lebih daripada satu titik fokus. Keadaan ini disebabkan permukaan kornea yang tidak sekata atau beralun di mana cahaya yang masuk tidak dapat difokuskan pada satu titik sahaja kerana berlaku pembiasan cahaya. Imej yang terbentuk pada retina kurang jelas dan tepat dan menyebabkan pengurangan ketajaman atau ketepatan penglihatan. Maka, penglihatan akan menjadi silau. |
Antara punca berlakunya astigmatism adalah akibat lengkung kornea yang tidak sekata. Astigmatism terbahagi kepada dua, iaitu astigmatism mengikut peraturan atau with the rule astigmatisme dan astigmatism menyalahi peraturan atau against the rule astigmatisme. Astigmatism mengikut peraturan atau with the rule astigmatisme adalah keadaan di mana lengkungan menegak (vertical) kornea lebih daripada lengkungan melintang (horizontal). Keadaan ini selalunya berpunca daripada tekanan tetap dan berterusan dari kelopak mata ke atas permukaan kornea yang mengakibatkan meridian menegak mempunyai kelengkungan yang lebih berbanding dengan meridian melintang. Manakala, astigmatism menyalahi peraturan atau against the rule astigmatisme pula kerap berlaku apabila usia semakin meningkat. Hal ini kerana, apabila usia telah lanjut, kelopak mata tidak lagi cukup kuat untuk menghasilkan tekanan berterusan ke atas permukaan kornea di mana ini menyebabkan lengkungan meridian melintang menjadi lebih berbanding dengan lengkungan meridian menegak. Keadaan astigmatism mengikut peraturan yang kecil darjahnya boleh dianggap kerana keadaan fisiologi, tetapi astigmatism yang berpunca daripada masalah kelengkungan kornea biasanya adalah kongenital.
Selain itu, kecederaan kornea atau akibat daripada pembedahan ke atas mata juga boleh menjadi punca berlakunya rabun silau. Jahitan selepas pembedahan yang terlalu longgar atau ketat boleh mempengaruhi bentuk kelengkungan permukaan kornea. Bentuk kornea dan penyakit yang mengubah bentuk kornea juga menyumbang kepada astigmatism. Contohnya, keratokonus, iaitu kornea berbentuk kon, ulser pada permukaan kornea, inflamasi pada kornea dan kornea yang berparut. Kelopak mata bengkak disebabkan ketumbuhan, ketumbit dan sebagainya yang boleh menghasilkan tekanan ke atas kornea di mana permukaan kornea menjadi tidak sekata lagi. Di samping itu, perubahan kedudukan kornea juga mengakibatkan astigmatism. Kedudukan kornea yang sedikit ke atas daripada posisi sepatutnya atau kornea mengalami keadaan subluksasi (subluxation) akibat hentakan ke atas mata dan sebagainya. Keadaan sedemikian menyebabkan paksi penglihatan sudah tidak sejajar lagi dengan kedudukan sebenar kornea. Astigmatism yang berpunca daripada indeks biasan yang bervariasi biasanya berlaku terhadap penghidap kencing manis dan katarak.

Keadaan kornea yang mengalami rabun silau dan kornea normal
Rabun Tua (Presbiopia)
![]() |
Presbiopia adalah keadaan rabun atau pembiasan yang berlaku disebabkan oleh penurunan keupayaan kanta kristalin atau kornea mata untuk melakukan akomodasi. Keadaan penurunan keupayaan akomodasi ini berlaku berikutan umur yang semakin meningkat. Selalunya presbiopia wujud pada umur pertengahan, iaitu dalam lingkungan 40 tahun. |
Sebenarnya, kewujudan presbiopia merupakan proses fisiologi umur manusia. Apabila umur bertambah, kanta kristalin menjadi kurang anjal menyebabkan keupayaan untuk memfokus pada objek dekat berkurang atau menjadi sukar. Oleh itu, mata mereka yang mengalami presbiopia akan menjadi mudah letih apabila membaca atau membuat kerja- kerja pada jarak yang dekat seperti menjahit dan sebagainya. Penggunaan kanta cembung boleh mengatasi masalah presbiopia.
Keadaan presbiopia berlaku bergantung kepada beberapa faktor. Antaranya ialah jarak kerja dekat. Contohnya, seseorang yang mempunyai tabiat membaca pada jarak yang dekat akan cepat mengalami presbiopia berbanding dengan individu yang mempunyai tabiat membaca pada jarak yang jauh. keadaan ralat biasan mata juga menjadi faktor kepada presbiopia. Contohnya, individu yang mengalami hyperopia akan cepat mengalami presbiopia berbanding dengan individu yang mengalami myopia. Selain itu, faktor umur juga memainkan peranan. Golongan yang berumur pertengahan lebih cenderung untuk mengalami presbiopia berbanding dengan golongan yang lebih muda. Walaubagaimanapun, keadaaan kesihatan badan juga merupakan antara faktor penting. Individu yang lebih muda dengan tahap kesihatan yang rendah akan lebih cenderung untuk mendapat presbiopia berbanding dengan individu yang lebih tua dengan tahap kesihatan yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment